Begin typing your search above and press return to search. Press Esc to cancel.

#3 Sejarah Dunia Dari Pandangan Islam – Tamim Ansary

Biblophilia Siri 13
Hari: Khamis
Tempat: Wackos
Waktu: 9.00-10.30pm
Tema: Sejarah
Pembentang: Mohamad Amirul Ashraf Bin Fadzil
Sejarah Dunia Dari Pandangan Islam – Tamim Ansary

Pendahuluan

Buku ini merupakan buku sejarah yang pada asalnya diterbitkan sendiri oleh penulisnya sendiri dengan tajuk “Destiny Disrupted” . Pada sesi kali ini kita akan membincangkan karya alihan bahasa dari tajuk yang sama, yang bertajuk "Sejarah Dunia Dari Pandangan Islam" di dalam Bahasa Malaysia.

Buku ini ditulis dengan nada dan penyampaian yang santai dan juga bersifat naratif. Di awal pendahuluan buku ini, penulis menyatakan bahawa tujuan penulisan buku ini ialah sebagai sebuah pencerahan dan akhirnya mengubah persepsi masyarakat barat terhadap Islam melalui pensejarahan.



Penulis juga ingin masyarakat barat memahami dan melihat sejarah Islam dengan kaca mata yang lebih adil, ini kerana begitu sedikitnya pendedahan masyarakat barat terhadap sejarah islam. Penulis juga berharap agar karyanya mampu meluaskan pengetahuan masyarakat barat akan sejarah Islam, kerana rata-rata masyarakat barat ketika itu lebih tertumpu kepada sejarah Rom, Parsi, Greek, Sepanyol dan Itali.  Dalam erti kata lain masyarakat barat merasakan bahawa merekalah menjadi pusat dunia kerana pendekatan sejarah mereka yang begitu "Western Centric".

Sedikit penceritaan berkenaan kisah disebalik penerbitan buku ini telah dikongsikan oleh pembentang. Bagaimana kepayahan Tamim Ansary dalam usaha menerbitkan. Beberapa kali bukunya telah ditolak oleh syarikat penerbitan hatta di syarikat penerbitan dimana dia bekerja juga menolak penerbitan bukunya. Akhirnya dia telah mencari jalan bagi menerbitkan bukunya sendiri tanpa bergantung kepada syarikat penerbitan.

Konteks

Di awal perbincangan, pembentang telah menyatakan bahawa buku ini menceritakan pertembungan tamadun antara islam dan barat. Buku ini menyambung dan telah menyatakan bahawa tamadun Islam ini bangun di tengah-tengah dunia, iaitu dari persisir pantai barat asia (Mediterranean) sehingga ke kawasan pergunungan hindu kush di india. Tetapi tamadun islam tidak pergi meluas lebih dari itu hingga ke asia tenggara disebabkan geologi bumi yang sukar.


Destiny Disrupted: A History of the World through Islamic Eyes boleh dikatakan 'Magnum Opus' Tamin Ansary. Beliau membesar di Afghanistan dan kini menetap di Amerika Syarikat. Inilah yang menjadikan keunikan beliau, kerana mampu melihat dunia dari dua perspektif yang berbeza; barat dan timur. Tamin Ansary melakar sejarah dengan gaya penulisan yang menyenangkan. Dalam tempoh beberapa dekad selepas kewafatan Muhammad SAW, banyak pusat penting tamadun telah dikuasai oleh orang Islam. Dalam erti kata yang lain tamadun Islam telah menjadi paksi dunia yang baru, namun sejak bermulanya Revolusi Perindustrian paksi dunia berubah dan akhirnya dimiliki oleh ketamadunan barat. Apakah yang berlaku? Di mana kualiti pemerintah dan kerajaan yang ‘ditarbiyyah’ oleh Nabi Muhammad S.A.W serta Khalifah al-Rasyidin?

Buku ini memulakan naratif sejarahnya dengan membuka lembaran sejarah dari tamadun silam, yang menjadi asas kepada zaman awal kebangkitan tamadun Islam. Di kisahkan kelahiran peradaban Mesir dan Mesopotamia, era Yunani dan Rom dan akhirnya berlakulah kebangkitan Tamadun Islam; pada zaman ketika berlaku pertembungan dua kuasa besar dunia iaitu Rom Byzantine dan Parsi.
Buku ini menyambung naratif penceritaan mengenai sejarah silam sehinggalah sejarah mutakhir. Buku ini juga menyelit sejarah tamadun Islam seperti umaiyyah, saljuk dan abasiah. Selain itu, penulis juga menyatakan perubahan bangsa Mongol yang berasal ganas dan bertukar menjadi lebih baik apabila menerima Islam, bagaimana akhirnya dari anak cucu bangsa inilah lahirnya Tamadun Mughal (sebuah kerajaan Islam di India sebelum dijatuhkan Empayar British). Pembentang menjelaskan kerumitan kerajaan Abasiah yang menjadikan khalifah sebagai boneka diakhir zaman pemerintahannya. Perpecahan negara dan aliran mazhab, diceritakan dengan cepat tetapi jelas, untuk memudahkan pembaca faham apa yang terjadi.

Buku ini telah mengungkap sumbangan Islam pada dunia, di kala Eropah terperangkap dalam ‘Zaman Kegelapan’. Diakhir buku ini, penulis memasukkan sedikit mengenai barat yang mula meluaskan empayar sehingga kini.

Pengajaran

Jika dilihat dari padangan islam, buku ini  banyak banyak menggunakan sumber rujukan dari barat, atau dengan erti kata lain tulisan Sejarawan Orientalis. Sebaliknya jika penulis ingin bersikap adil seharusnya dia melakukan penyeimbangan dan merujuk bahan-bahan dan karya sejarah yang ditulis oleh ahli sejarawan Islam sendiri.  Namun tidak boleh kita menyalahkan Tamim Ansary dalam hal ini, kerana boleh jadi dia tidak mempunyai akses yang meluas bahan rujukan, dan boleh jadi juga ia sebahagian dari strateginya; iaitu memudahkan penerimaan sejarah Tamadun Islam oleh masyarakat barat, dalam erti kata lain ingin menghasilkan karya berkenaan sejarah Islam yang lebih neutral di sisi pandangan masyarakat barat.
Pembentang juga menegaskan, cara terbaik untuk mengenali sejarah adalah melalui sejarawan tempatan itu sendiri, kerana sejarah ini tidak pernah neutral dalam erti kata dimasukkan dengan emosi dan pandangan sejarawan itu. Maka disini kita lihat perlunya kekuatan keilmuan sejarah sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada tulisan sejarah oleh sejarawan orientalis.

Beberapa rumusan ringkas hasil diskusi kali ini ialah

1. Keperluan mengkaji , memupuk minat dalam mendalami sejarah

2. Perlu ingat prioriti kita, bukan membaca sejarah utk menghafal kronologi, nama-nama tokoh dan tarikh tetapi mengambil iktibar dan belajar dari sejarah

3. Membaca sejarah dengan kaca mata mencari solusi, mencari solusi dan jawapan dijumpai di zaman silam yang boleh digunakkan untuk menyelesaikan permasalahan masa kini.

4. Mengkaji sejarah melalui karya novel, filem boleh jika sekadar untuk mengetahui kronologi -bukan untuk mengambil fakta dan hujahan ( entry point yg baik). Harus bersikap kritis dan mampu membezakan fakta dan fiksyen - potensi mendium kreatif seperti game, novel, komik, filwm menjadi medium baik sebagai pencetus minat kepada sejarah. .

Tulisan
Hafizuddin Sa'adan.
1st year Plant Science.

Read more ...

#2 Green Deen - Ibrahim Abdul-Matin

BUMI ITU ADALAH MASJID. Satu ayat ringkas yang biasa didengari dan terlintas di fikiran ramai ialah kita sebagai Muslim boleh bersolat di mana-mana dengan syarat mestilah bersih dan menjaga adab-adabnya yang lain. Menariknya, penulis buku Ibrahim Abdul-Matin cuba membawa pembaca kepada pandangan sisi yang berbeza dengan menceritakankan kisahnya ketika kecil yang biasa bersolat di rumah dan masjid, buat pertama kalinya beliau menunaikan solat di hutan ketika mendaki Bear Mountain.


“..my father related a hadith, “Wherever you may be at the time of prayer, you may pray, for it (the Earth) is all a mosque”. At that instant, and I couldn’t have been more than 5 or 6 years old, I understood for the first time: the Earth is a mosque; a mosque is sacred; therefore, the Earth is sacred. That moment…..transformed the way that I would see the world forever.”

Begitulah tema penting yang cuba disampaikan oleh penulis dalam bukunya yang bertajuk  “Green Deen” ini. Buku ini dipilih untuk dibentangkan dalam sesi Bibliophilia yang mengangkat tema “Alam Sekitar” sekaligus menyambung diskusi dokumentari “Chasing Ice” dalam sesi Filmmania pada minggu yang lalu.

Hubungan di antara insan-pencipta dan alam yang sakral ini boleh direalisasikan dengan mengikut prinsip-prinsip asas seperti yang telah digariskan dalam buku ini. 6 prinsip ringkas yang boleh dipegang untuk merealisasikan penjagaan dan kelangsungan kemakmuran Bumi kita seperti yang ditekankan oleh pembentang buku, Saudari Nadiah Mat Junoh, pelajar tahun akhir Bioteknologi UIAM Kuantan adalah:

1) Keesaan Allah s.w.t dan makhluk-Nya.

Pencipta alam ini adalah Allah s.w.t dan Alam ini adalah makhlukNya. Setiap sesuatu di dalam Alam ini mempunyai hubungkait antara satu sama lain dan yang menghubungkan dan mengawalnya adalah Allah s.w.t. Berbeza dengan pandangan sekularisme yg memisahkan antara sesuatu dengan sesuatu yang lain, mereka menganggap Alam ini hanyalah objek dan manusia boleh berbuat apa-apa sesuka hatinya demi kepentingan sendiri.

2) Alam-bumi ini merupakan ayat (tanda) kepada Pencipta

Selain Kitab Suci Al Quran yang menjadi ayat (tanda), Alam juga turut mempamerkan kekuasaan dan kewujudan Allah s.w.t melalui pelbagai bentuk contohnya pengasingan air tawar dan air masin di muara dan kehebatan terbenamnya matahari. Kita sebagai manusia perlulah belajar daripada Alam untuk memastikan dunia ini dikemudi dengan sebaik mungkin. Peribahasa Melayu banyak diekstrak daripada Alam dan menunjukkan nenek moyang kita sentiasa memerhati dan belajar daripada Alam. Tidak menjaga dunia dengan baik umpama menidakkan tanda-tanda ciptaan Allah s.w.t.

3) Khalifah

Kita sebagai khalifah yang secara literalnya bermaksud pengganti perlu berperanan untuk menjaga Bumi ini. Kita berasal daripada tanah dan akhirnya akan kembali ke tanah. Persoalan mendalam ditekankan oleh pembentang ialah “Adakah kita sanggup kembali ke dalam tanah (kubur) dengan keadaan tanah yang penuh heavy metal dan sisa-sisa pepejal?”

4) Amanah

Analogi ringkas yang diberikan ialah jika kita diberi amanah untuk menjaga sebuah kenderaan dan dibenarkan untuk menggunakannya, pilihan yg  kita boleh lakukan ialah memulangkannya dalam keadaan rosak dan kotor, atau sama seperti sediakala atau lebih baik lagi iaitu dalam keadaan ianya dibersih dan dicuci.

Jadi, secara tuntasnya adakah kita sebagai hidupan di Bumi ini memulangkannya dalam keadaan rosak, busuk dan kotor?

5) Adil

Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kita melihat kerakusan sistem ekonomi kapitalis yang mengaut segala sumber alam hanya untuk membuat keuntungan materialistik semata-mata. Tanpa memikirkan kesan jangka panjang, sebagai contoh iaitu industri penternakan yang zalim di mana lembu-lembu diternak dengan diberi makan jagung segera berbanding rumput yang merupakan fitrah makanan asasinya. Perut lembu diciptakan dengan empat kompartmen dan mempunyai enzim cellulase yg sesuai untuk mencerna rumput, bukan jagung. Inilah antara contoh kezaliman yang berlaku dalam industri.

6) Mizan (Seimbang)

Berkait dengan sistem ekonomi kapitalis yang mencengkam majoriti masyarakat dunia sekarang, segala-galanya “hendak cepat dan mudah”.Mengikut asas yang betul, segala perancangan untuk menggunakan tanah contohnya pertanian perlulah mengikut peraturan alam. Sebagai contoh yang baik, prinsip rantaian makanan digunakan untuk mengawal populasi haiwan perosak seperti tikus dengan meletakkan burung hantu sebagai pemangsa. Kini, peranan itu diganti dengan kegunaan racun perosak yang merosakkan tanah!

Apabila 6 prinsip ini dikukuhkan dalam minda pembaca, kita boleh mewujudkan kesedaran dan melancarkan 4 perkara praktikal yang dicadangkan oleh penulis buku iaitu 1)Menyebarluaskan kisah dan kejayaan kita menjaga Bumi 2) Mendidik berkaitan isu alam sekitar dan jalan penyelesaiannya 3) Berhubung dengan komuniti berbeza agama untuk satu tujuan yang sama 4) Mencuba idea baru untuk disesuaikan dengan praktik semasa.

Idea yang dibincangkan oleh Sahabat Massa (SM) ialah berkaitan 2 jenis pendekatan iaitu secara praktikaliti (rawatan) berserta kefahaman yang kukuh (pencegahan). Antara contoh pendekatan yang praktikal yang diterangkan oleh ahli SM, Saudari Sarah Syazwani, pelajar tahun akhir Bioteknologi UIAM ialah kaedah yang dipanggil Phytoremediation di mana tumbuhan digunakan untuk meresap sisa kimia seperti heavy metal yang mencemari tanah dan melalui proses biokimia di mana struktur kimianya sudah berubah sebelum membebaskan gas karbon dioksida. Bioremediaton pula menggunakan hidupan mikrob seperti bakteria untuk mencerna sisa-sisa yang mencemarkan alam sekitar.

Pendekatan yang bersifat mencegah dijelaskan lagi oleh Saudari Meryem Unal, pelajar tahun empat Perubatan UIAM tentang pelaksanaan sistem permaculture (kaedah pertanian dengan mengekalkan kestabilan ekosistem dan mengikut alam setempat) dan penulis artikel sendiri mencadangkan untuk mengamalkan amalan menanam sendiri dan menternak ayam di halaman rumah berdasarkan contoh diamalkan oleh sesetengah pensyarah di sini.

Kedua, sisi pandangan lain yang disentuh dalam konteks UIAM Kuantan oleh Saudari Wan Nur Amni Wan Azmi, Exco Sosial dan Kebajikan MRC Talhah ialah realiti dalam praktikaliti dan kejayaan “Green Mahallah Project” yang dianjurkan oleh Mahallah Talhah; contohnya kesedaran menggunakan bekas makanan sendiri berbanding polisterine. Cadangan lain diberikan oleh Saudara Lutfi Azmi, Presiden MRC Tabari untuk penambahbaikan “Green Mahallah Project” yang akan datang ialah membudayakan amalan berbasikal dalam kampus kerana mahallah yang akan diduduki nanti lebih dekat dengan kebanyakan kulliyyah, serta kesesuaian untuk melaksanakannya dengan membina suasana baru di mahallah yang baru.

Ketiga, Saudara Syafiq Ramli, Ketua Sahabat Massa menerangkan prinsip syarikat kapitalis untuk sentiasa menghasilkan permintaan yang diperkenalkan oleh Richard Nixon, ialah 1) menghasilkan barang yang cepat rosak atau sekejap fungsinya, 2) menaiktaraf secara sedikit ciri-ciri baru dalam barangan versi baru. Sebagai contohnya Iphone 6 dan Iphone 6S hanyalah sedikit naik tarafnya.

Keempat, Saudara Arif Alwan, pelajar tahun akhir Pergigian UIAM membuka diskusi dalam konteks negara dan isu semasa iaitu pembentangan Akta Nuklear di Dewan Rakyat dalam masa yang terdekat ini dan menekankan mahasiswa untuk mengikuti perkembangannya sama ada kerajaan Malaysia akan menolak akta ini dengan pegangan yang lebih kuat atau mula berlembut dan berkompromi untuk meluluskan akta ini.

Akhir sekali, perbincangan selama 2 jam ini ditutup dengan resolusi di peringkat individu dan umum. Di peringkat individu, penulis memberi 3 perkara ringkas yang boleh diamalkan oleh semua ahli Sahabat Massa iaitu

  1. Mempunyai botol sendiri yang tahan lama, bebas Bisphenol- A (BPA) untuk mengisi air berbanding menggunakan botol baru setiap kali membeli air minuman.
  2. Mempunyai 1 beg membeli-belah sendiri yang boleh dilipat, mudah dibawa kemana sahaja di dalam beg tangan atau poket masing-masing utk kegunaan semasa membeli belah untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di kedai atau pusat beli belah.
  3. Mempunyai bekas makanan sendri (bebas BPA) yang mudah dibawa dan digunakan untuk mengisi makanan ketika membeli lauk pauk untuk mengurangkan penggunaan polisterine dan beg plastik




Di peringkat umum, pentingnya pertemuan susulan dengan wakil organisasi pelajar UIAM Kuantan (PhytoTech IIUM Club, Mahallah Representative Council (MRC) Tabari dan Talhah, SahabatMassa) dan membuat jalinan kerjasama dengan badan-badan NGO luar antaranya Grup Alam Sekitar ABIM (GRASS), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Customer Association Penang (CAP).

Akhir kata, saya mengajak pembaca artikel bersama-sama mengamalkan tiga cara praktikal di peringkat individu di atas dan teruskan mendidik diri dengan kefahaman hubungan Alam dan manusia.

* Ditulis oleh Sahel Akmal bin Che Mohd Hazidi, pelajar tahun keempat Jurusan Perubatan (MBBS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, (UIAM) Kuantan.






Read more ...

#1 Chasing Ice

Assalamualaikum

Sedikit 'take home message' dari dokumentari filem 'Chasing Ice'. .

Orang berkata 'Picture Worth a thousand words', itu lah tema utama yg dibawakan di dalam dokumentari filem - Chasing Ice.



Saya amat tertarik dengan kisah perjalanan n perjuangan James Balog dalam mengetengahkan isu pemanasan global dan kesannya kepada pencairan dan pemecahan 'ice cap'.
Bagaimana beliau sebagai seorang ahli geologi yang amat mencintai fotografi, berbekalkan ilmu dan minatnya dia berusaha melakukan sesuatu di dalam isi ini.

Tulisan saya ini mungkin lebih bersifat ulasan daripada kupasan secara mendalam, maka saya suka untuk menyentuh beberapa konsep yg merupakan konsep2 yg sering kita dengar dan merupakan konsep fundamental di dalam ajaran Islam.

Di dalam dokumentari filem ini, James Balog sanggup bergolok gadai, menghabiskan masa, penat dan lelah demi memperjuangkan suatu idea. Iaitu membawakan gambar-gambar bukti jelas lagi bersuluh akan pencairan dan pemecahan ice cap, memberikan gambar-gambar yg akan memberi suatu tamparan kepada masyarakat akan realiti isu ini, yang akhirnya akan memobilisasikan masyarakat untuk bertindak .

Berpegang kepada idea nya yang berpaksikan kepada kesedaran utk melakukan sesuatu, ditambah pula kepenatan dan kecewanya dunia akademik yang tenggelam dalam pendebatan samaada menerima atau menolak fenomena pemanasan global tanpa sebarang tindakan yang konklusif. Berbekalkan kesedaran akan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang geologis, dia bergerak di atas kapasitinya sendiri dan menubuhkan sebuah kumpulan yg dinamakan Extreme Ice Survey (E.I.S) . Kumpulan ini berfungsi dalam membawa dan memenifestasikan ideanya.

Berbalik kpd konsep amal ma'ruf nahi mungkar bagaimana James Balog amat menjiwai konsep ini, seperti apa yg diperkatakan di dalam dokumentari filemnya " I want to be able to say to my choildren 25 to 30 years from now when they ask what have I done when global warming was happening . Guys, I was doing everything I knew how to do". . Pengajaran penting yg dapat diambil ialah bagaimana dengan berdasarkan minat, ilmu dan kemahiran sedia ada dan menggunakannya dalam mengajak kpd kebaikan dan melarang kpd keburukan. Seperti di dalam dokumentari filemnya, berbekalkan pengetahuan dan minat kpd fotografi dia telah menubuhkan E.I.S Dia menggunakan segala kekuatan dan pengetahuannya untuk menjadi seorang advokasi dan memberi kesedaran orang ramai akan isu pemanasan global.

Seterusnya konsep semangat kepemudaan. Ya benar, walaupun James Balog berusia dan mula menunjukkan tanda2 umur tuanya namun jiwanya masih segar, semangat kepemudaannya masih membakar. Walaupun dia sudah melakukan pembedahan lutut buat kali kedua dan dinasihatkan doktornya untuk berhenti dari melakukan aktivitinya, dia tetap teguh dengan pendiriannya. . Iaitu memberikan kesedaran kpd ummat akan kesan langsung pemanasan global melalui fotografi

Berpegang kpd ideanya dia begitu bersungguh dan bermati-matian memperjuangkannya. Saya mengkagumi semangat (hamasah) beliau. Ini lah semangat yg sy rasa perlu ditiupkan semula di dalam jiwa ramai graduan dan mahasiswa kita. .

Begitu ramai yg tewas dan akhirnya hanyut dalam badai realiti hidup dan tidak kurang juga yang tidalk mempunyai idea yang diperjuangkan langsung . Ramai yang akhirnya tunduk kpd cabaran kesukaran, tewas dan tenggelam. Hilang idea dan semangat perjuangan antara sebabnya ada yg tertewas kerana kecewa di dalam cinta, ada juga yg kecewa kerana hidup dalam suasana masyarakat yg serba mengkritik dan memperlekehkan, ada juga kerana serik dgn kegagalan. . Apa-apa pun sebab amat sedih apabila seorang yang 'idealist' akhirnya berubah langsung menjadi seorang 'realist pessimist'.

Bagi saya dokumentari filem ini bagus ditonton bagi mencetuskan semula semangat dan idea seseorang. Harus dicari semula idea yang hilang itu, berjuang ke arah suatu tujuan. Bangkitlah lakukan anjakan paradigma diri dari menjadi seorang realist yg pessimist kpd seorang realist optimist yg berpegang kpd sebuah idea. . Namun pun begitu, haruslah semangat dan idea itu dipegang oleh kerangka pemikiran dan ilmu yang benar. .
Konsep yg ketiga yg terakhir yg sy ingin kupas ialah konsep berpegang kpd ilmu yg asas. Seperti apa yang kita tontoni di dalam dokumentari ini, kita dapat lihat betapa dunia sains bertelagah akan apakah pemanasan global itu benar-benar berlaku, sedangkan masalah itu jelas berlaku. Oleh kerana dunia sains sibuk dalam perdebatan, mereka akhirnya terlepas pandang dan seolah-olah tiada sebarang usaha menangani isu ini. Jika ada pum usaha itu hanyalah dalam skala yang kecil.

Berbalik kepada konsep yang ketiga ini, adalah tidak salah untuk kita menjadi pengkaji, berdebat dan mencari kebenaran. Namun haruslah kita insaf dan sedar untuk tidak terjerumus dalam dunia perbincangan serba kekhilafan. Carilah semula titik keberadaan kita, di mana kita berpijak dan apa peranan kita. Bukan apa, kadang-kadang jika kita terlalu asyik dalam dunia perbincangan sebegini, akhirnya kita tiada berbuat apa-apa . Namun tidaklah saya bermaksud dan menganjurkan seseorang itu, terus-menurus bertindak tanpa sebarang pengkajian. Haruslah sesuatu tindakan dimulai dengan ilmu akan sesuatu.

Akhir kata saya mengajak agar sahabat-sahabat sekalian cuba menghayati dan mengaplikasikan tiga konsep ini dalam kehidupan kita.

Ditulis oleh - Muhammad Syafiq bin Ramli, pelajar tahun 4 Kulliyyah of Dentistry
Read more ...

Pengenalan


Logo Sahabat Massa

  1. Buku melambangkan Sahabat Massa sebagai kumpulan yang mengangkat "Budaya Ilmu".
  2. Perkataan "Sahabat" yg diwarnai pelbagai warna melambangkan penerimaan ahli khususnya dari kalangan mahasiswa tanpa mengira latar belakang dan orientasi pemikiran.
  3. Perkataan "Massa" berwarna putih melambangkan budaya perbincangan umum yg bersifat neutral (tidak mempunyai sentimen) dan berpegang pada adab berkhilaf (berbeza pandangan).
  4. "PKPIM Kuantan" merujuk kepada Biro Massa PKPIM Kuantan sebagai induk penggerak kepada program Sahabat Massa (Sahabat Massa bernaung dibawah Biro Massa PKPIM IIUM Kuantan)


Definisi Sahabat Massa

Mahasiswa yg mengangkat budaya ilmu dan menyertai program-program Biro Massa PKPIM IIUM Kuantan secara konsisten mahupun berkala.

Tujuan Penubuhan Sahabat Massa

Sahabat Massa ditubuhkan atas inisiatif biro massa PKPIM Kuantan sebagai sebuah platform bagi mewujudkan budaya perbincangan yang sihat dan menyuburkan budaya ilmu di kalangan mahasiswa khususnya pelajar IIUM Kuantan. Sahabat Massa juga diwujudkan atas dasar keterbukaan yang diamalkan oleh PKPIM dalam perbincangan yang bersifat intelektual selagi mana ia berpegang kepada adab berkhilaf.

Budaya Sahabat Massa
  1. Memugar budaya ilmu
  2. Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar
  3. Menghormati perbezaan pendapat (Kritis hormat).

Ativiti yang disediakan
  1. Bibiliophilia
  2. Filmania
  3. School of mass 

Kelebihan menyertai Sahabat Massa
  1. Berpeluang memberi pendapat dan berkarya di Ruangan Sahabat Massa
  2. Ruang berdialog antara pihak yg berbeza ideologi
  3. Program-program intelektual yang pelbagai
Read more ...

Selamat Datang

Assalamualaikum 

Biro Massa PKPIM IIUM Kuantan merupakan biro yang bertangungjawab menjadi pengerak utama dalam program-program bersifat intelektual, dan menjadi biro yang menjadi sebagai jurubicara dalam konteks kampus. 


Manakala, Sahabat Massa pula merupakan sebuah platform bagi semua pihak yang mempunyai kecenderungan dalam perbincangan intlektual dan ilmiah. Ia menjadi sebuah ruang kolektif, pertukaran dan percambahan idea-idea dan konsep dalam memikirkan jawapan-jawapan bagi cabaran yang wujud dalam konteks semasa. 

Tujuan blog ini diwujudkan sebuah ruangan khusus sebagai platform suara, catatan-catatan dan juga travelog sahabat massa. Ia bertujuan menjadi sebuah ruangan khas penulisan samaada berbentuk pandangan, perbincangan ilmiah atau sudut karya kreatif. Ia juga bertujuan menjadi sebagai suatu ruangan latihan dan mengetengahkan idea, konsep dan pandangan kami. Ia juga menjadi satu platform dokumentasi umum.


Blog ini akan dipenuhi dengan kupasan-kupasan dan hasil dari perbincangan  bibiliophilia dan juga filmania yg akan dijalankan. Dalam masa yang sama kami juga mengalu-alukan ahli sahabat massa untuk turut sama menyumbang dalam menyambut usaha murni ini, dengan cara berkongsi penulisan dan karya sama ada bersifat umum atau berfocus dalam usaha untuk memartabatkan budaya menulis.

Antara coontoh program yg telah dilaksanakan oleh biro massa:





Sebarang cadangan penambahbaikan blog ini bolehlah die-mailkan ke massapkpim@gmail.com

Sekian.
Read more ...