Begin typing your search above and press return to search. Press Esc to cancel.

#3 Sejarah Dunia Dari Pandangan Islam – Tamim Ansary


Biblophilia Siri 13
Hari: Khamis
Tempat: Wackos
Waktu: 9.00-10.30pm
Tema: Sejarah
Pembentang: Mohamad Amirul Ashraf Bin Fadzil
Sejarah Dunia Dari Pandangan Islam – Tamim Ansary

Pendahuluan

Buku ini merupakan buku sejarah yang pada asalnya diterbitkan sendiri oleh penulisnya sendiri dengan tajuk “Destiny Disrupted” . Pada sesi kali ini kita akan membincangkan karya alihan bahasa dari tajuk yang sama, yang bertajuk "Sejarah Dunia Dari Pandangan Islam" di dalam Bahasa Malaysia.

Buku ini ditulis dengan nada dan penyampaian yang santai dan juga bersifat naratif. Di awal pendahuluan buku ini, penulis menyatakan bahawa tujuan penulisan buku ini ialah sebagai sebuah pencerahan dan akhirnya mengubah persepsi masyarakat barat terhadap Islam melalui pensejarahan.



Penulis juga ingin masyarakat barat memahami dan melihat sejarah Islam dengan kaca mata yang lebih adil, ini kerana begitu sedikitnya pendedahan masyarakat barat terhadap sejarah islam. Penulis juga berharap agar karyanya mampu meluaskan pengetahuan masyarakat barat akan sejarah Islam, kerana rata-rata masyarakat barat ketika itu lebih tertumpu kepada sejarah Rom, Parsi, Greek, Sepanyol dan Itali.  Dalam erti kata lain masyarakat barat merasakan bahawa merekalah menjadi pusat dunia kerana pendekatan sejarah mereka yang begitu "Western Centric".

Sedikit penceritaan berkenaan kisah disebalik penerbitan buku ini telah dikongsikan oleh pembentang. Bagaimana kepayahan Tamim Ansary dalam usaha menerbitkan. Beberapa kali bukunya telah ditolak oleh syarikat penerbitan hatta di syarikat penerbitan dimana dia bekerja juga menolak penerbitan bukunya. Akhirnya dia telah mencari jalan bagi menerbitkan bukunya sendiri tanpa bergantung kepada syarikat penerbitan.

Konteks

Di awal perbincangan, pembentang telah menyatakan bahawa buku ini menceritakan pertembungan tamadun antara islam dan barat. Buku ini menyambung dan telah menyatakan bahawa tamadun Islam ini bangun di tengah-tengah dunia, iaitu dari persisir pantai barat asia (Mediterranean) sehingga ke kawasan pergunungan hindu kush di india. Tetapi tamadun islam tidak pergi meluas lebih dari itu hingga ke asia tenggara disebabkan geologi bumi yang sukar.


Destiny Disrupted: A History of the World through Islamic Eyes boleh dikatakan 'Magnum Opus' Tamin Ansary. Beliau membesar di Afghanistan dan kini menetap di Amerika Syarikat. Inilah yang menjadikan keunikan beliau, kerana mampu melihat dunia dari dua perspektif yang berbeza; barat dan timur. Tamin Ansary melakar sejarah dengan gaya penulisan yang menyenangkan. Dalam tempoh beberapa dekad selepas kewafatan Muhammad SAW, banyak pusat penting tamadun telah dikuasai oleh orang Islam. Dalam erti kata yang lain tamadun Islam telah menjadi paksi dunia yang baru, namun sejak bermulanya Revolusi Perindustrian paksi dunia berubah dan akhirnya dimiliki oleh ketamadunan barat. Apakah yang berlaku? Di mana kualiti pemerintah dan kerajaan yang ‘ditarbiyyah’ oleh Nabi Muhammad S.A.W serta Khalifah al-Rasyidin?

Buku ini memulakan naratif sejarahnya dengan membuka lembaran sejarah dari tamadun silam, yang menjadi asas kepada zaman awal kebangkitan tamadun Islam. Di kisahkan kelahiran peradaban Mesir dan Mesopotamia, era Yunani dan Rom dan akhirnya berlakulah kebangkitan Tamadun Islam; pada zaman ketika berlaku pertembungan dua kuasa besar dunia iaitu Rom Byzantine dan Parsi.
Buku ini menyambung naratif penceritaan mengenai sejarah silam sehinggalah sejarah mutakhir. Buku ini juga menyelit sejarah tamadun Islam seperti umaiyyah, saljuk dan abasiah. Selain itu, penulis juga menyatakan perubahan bangsa Mongol yang berasal ganas dan bertukar menjadi lebih baik apabila menerima Islam, bagaimana akhirnya dari anak cucu bangsa inilah lahirnya Tamadun Mughal (sebuah kerajaan Islam di India sebelum dijatuhkan Empayar British). Pembentang menjelaskan kerumitan kerajaan Abasiah yang menjadikan khalifah sebagai boneka diakhir zaman pemerintahannya. Perpecahan negara dan aliran mazhab, diceritakan dengan cepat tetapi jelas, untuk memudahkan pembaca faham apa yang terjadi.

Buku ini telah mengungkap sumbangan Islam pada dunia, di kala Eropah terperangkap dalam ‘Zaman Kegelapan’. Diakhir buku ini, penulis memasukkan sedikit mengenai barat yang mula meluaskan empayar sehingga kini.

Pengajaran

Jika dilihat dari padangan islam, buku ini  banyak banyak menggunakan sumber rujukan dari barat, atau dengan erti kata lain tulisan Sejarawan Orientalis. Sebaliknya jika penulis ingin bersikap adil seharusnya dia melakukan penyeimbangan dan merujuk bahan-bahan dan karya sejarah yang ditulis oleh ahli sejarawan Islam sendiri.  Namun tidak boleh kita menyalahkan Tamim Ansary dalam hal ini, kerana boleh jadi dia tidak mempunyai akses yang meluas bahan rujukan, dan boleh jadi juga ia sebahagian dari strateginya; iaitu memudahkan penerimaan sejarah Tamadun Islam oleh masyarakat barat, dalam erti kata lain ingin menghasilkan karya berkenaan sejarah Islam yang lebih neutral di sisi pandangan masyarakat barat.
Pembentang juga menegaskan, cara terbaik untuk mengenali sejarah adalah melalui sejarawan tempatan itu sendiri, kerana sejarah ini tidak pernah neutral dalam erti kata dimasukkan dengan emosi dan pandangan sejarawan itu. Maka disini kita lihat perlunya kekuatan keilmuan sejarah sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada tulisan sejarah oleh sejarawan orientalis.

Beberapa rumusan ringkas hasil diskusi kali ini ialah

1. Keperluan mengkaji , memupuk minat dalam mendalami sejarah

2. Perlu ingat prioriti kita, bukan membaca sejarah utk menghafal kronologi, nama-nama tokoh dan tarikh tetapi mengambil iktibar dan belajar dari sejarah

3. Membaca sejarah dengan kaca mata mencari solusi, mencari solusi dan jawapan dijumpai di zaman silam yang boleh digunakkan untuk menyelesaikan permasalahan masa kini.

4. Mengkaji sejarah melalui karya novel, filem boleh jika sekadar untuk mengetahui kronologi -bukan untuk mengambil fakta dan hujahan ( entry point yg baik). Harus bersikap kritis dan mampu membezakan fakta dan fiksyen - potensi mendium kreatif seperti game, novel, komik, filwm menjadi medium baik sebagai pencetus minat kepada sejarah. .

Tulisan
Hafizuddin Sa'adan.
1st year Plant Science.

No comments:

Post a Comment