Begin typing your search above and press return to search. Press Esc to cancel.

#2 Green Deen - Ibrahim Abdul-Matin


BUMI ITU ADALAH MASJID. Satu ayat ringkas yang biasa didengari dan terlintas di fikiran ramai ialah kita sebagai Muslim boleh bersolat di mana-mana dengan syarat mestilah bersih dan menjaga adab-adabnya yang lain. Menariknya, penulis buku Ibrahim Abdul-Matin cuba membawa pembaca kepada pandangan sisi yang berbeza dengan menceritakankan kisahnya ketika kecil yang biasa bersolat di rumah dan masjid, buat pertama kalinya beliau menunaikan solat di hutan ketika mendaki Bear Mountain.


“..my father related a hadith, “Wherever you may be at the time of prayer, you may pray, for it (the Earth) is all a mosque”. At that instant, and I couldn’t have been more than 5 or 6 years old, I understood for the first time: the Earth is a mosque; a mosque is sacred; therefore, the Earth is sacred. That moment…..transformed the way that I would see the world forever.”

Begitulah tema penting yang cuba disampaikan oleh penulis dalam bukunya yang bertajuk  “Green Deen” ini. Buku ini dipilih untuk dibentangkan dalam sesi Bibliophilia yang mengangkat tema “Alam Sekitar” sekaligus menyambung diskusi dokumentari “Chasing Ice” dalam sesi Filmmania pada minggu yang lalu.

Hubungan di antara insan-pencipta dan alam yang sakral ini boleh direalisasikan dengan mengikut prinsip-prinsip asas seperti yang telah digariskan dalam buku ini. 6 prinsip ringkas yang boleh dipegang untuk merealisasikan penjagaan dan kelangsungan kemakmuran Bumi kita seperti yang ditekankan oleh pembentang buku, Saudari Nadiah Mat Junoh, pelajar tahun akhir Bioteknologi UIAM Kuantan adalah:

1) Keesaan Allah s.w.t dan makhluk-Nya.

Pencipta alam ini adalah Allah s.w.t dan Alam ini adalah makhlukNya. Setiap sesuatu di dalam Alam ini mempunyai hubungkait antara satu sama lain dan yang menghubungkan dan mengawalnya adalah Allah s.w.t. Berbeza dengan pandangan sekularisme yg memisahkan antara sesuatu dengan sesuatu yang lain, mereka menganggap Alam ini hanyalah objek dan manusia boleh berbuat apa-apa sesuka hatinya demi kepentingan sendiri.

2) Alam-bumi ini merupakan ayat (tanda) kepada Pencipta

Selain Kitab Suci Al Quran yang menjadi ayat (tanda), Alam juga turut mempamerkan kekuasaan dan kewujudan Allah s.w.t melalui pelbagai bentuk contohnya pengasingan air tawar dan air masin di muara dan kehebatan terbenamnya matahari. Kita sebagai manusia perlulah belajar daripada Alam untuk memastikan dunia ini dikemudi dengan sebaik mungkin. Peribahasa Melayu banyak diekstrak daripada Alam dan menunjukkan nenek moyang kita sentiasa memerhati dan belajar daripada Alam. Tidak menjaga dunia dengan baik umpama menidakkan tanda-tanda ciptaan Allah s.w.t.

3) Khalifah

Kita sebagai khalifah yang secara literalnya bermaksud pengganti perlu berperanan untuk menjaga Bumi ini. Kita berasal daripada tanah dan akhirnya akan kembali ke tanah. Persoalan mendalam ditekankan oleh pembentang ialah “Adakah kita sanggup kembali ke dalam tanah (kubur) dengan keadaan tanah yang penuh heavy metal dan sisa-sisa pepejal?”

4) Amanah

Analogi ringkas yang diberikan ialah jika kita diberi amanah untuk menjaga sebuah kenderaan dan dibenarkan untuk menggunakannya, pilihan yg  kita boleh lakukan ialah memulangkannya dalam keadaan rosak dan kotor, atau sama seperti sediakala atau lebih baik lagi iaitu dalam keadaan ianya dibersih dan dicuci.

Jadi, secara tuntasnya adakah kita sebagai hidupan di Bumi ini memulangkannya dalam keadaan rosak, busuk dan kotor?

5) Adil

Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kita melihat kerakusan sistem ekonomi kapitalis yang mengaut segala sumber alam hanya untuk membuat keuntungan materialistik semata-mata. Tanpa memikirkan kesan jangka panjang, sebagai contoh iaitu industri penternakan yang zalim di mana lembu-lembu diternak dengan diberi makan jagung segera berbanding rumput yang merupakan fitrah makanan asasinya. Perut lembu diciptakan dengan empat kompartmen dan mempunyai enzim cellulase yg sesuai untuk mencerna rumput, bukan jagung. Inilah antara contoh kezaliman yang berlaku dalam industri.

6) Mizan (Seimbang)

Berkait dengan sistem ekonomi kapitalis yang mencengkam majoriti masyarakat dunia sekarang, segala-galanya “hendak cepat dan mudah”.Mengikut asas yang betul, segala perancangan untuk menggunakan tanah contohnya pertanian perlulah mengikut peraturan alam. Sebagai contoh yang baik, prinsip rantaian makanan digunakan untuk mengawal populasi haiwan perosak seperti tikus dengan meletakkan burung hantu sebagai pemangsa. Kini, peranan itu diganti dengan kegunaan racun perosak yang merosakkan tanah!

Apabila 6 prinsip ini dikukuhkan dalam minda pembaca, kita boleh mewujudkan kesedaran dan melancarkan 4 perkara praktikal yang dicadangkan oleh penulis buku iaitu 1)Menyebarluaskan kisah dan kejayaan kita menjaga Bumi 2) Mendidik berkaitan isu alam sekitar dan jalan penyelesaiannya 3) Berhubung dengan komuniti berbeza agama untuk satu tujuan yang sama 4) Mencuba idea baru untuk disesuaikan dengan praktik semasa.

Idea yang dibincangkan oleh Sahabat Massa (SM) ialah berkaitan 2 jenis pendekatan iaitu secara praktikaliti (rawatan) berserta kefahaman yang kukuh (pencegahan). Antara contoh pendekatan yang praktikal yang diterangkan oleh ahli SM, Saudari Sarah Syazwani, pelajar tahun akhir Bioteknologi UIAM ialah kaedah yang dipanggil Phytoremediation di mana tumbuhan digunakan untuk meresap sisa kimia seperti heavy metal yang mencemari tanah dan melalui proses biokimia di mana struktur kimianya sudah berubah sebelum membebaskan gas karbon dioksida. Bioremediaton pula menggunakan hidupan mikrob seperti bakteria untuk mencerna sisa-sisa yang mencemarkan alam sekitar.

Pendekatan yang bersifat mencegah dijelaskan lagi oleh Saudari Meryem Unal, pelajar tahun empat Perubatan UIAM tentang pelaksanaan sistem permaculture (kaedah pertanian dengan mengekalkan kestabilan ekosistem dan mengikut alam setempat) dan penulis artikel sendiri mencadangkan untuk mengamalkan amalan menanam sendiri dan menternak ayam di halaman rumah berdasarkan contoh diamalkan oleh sesetengah pensyarah di sini.

Kedua, sisi pandangan lain yang disentuh dalam konteks UIAM Kuantan oleh Saudari Wan Nur Amni Wan Azmi, Exco Sosial dan Kebajikan MRC Talhah ialah realiti dalam praktikaliti dan kejayaan “Green Mahallah Project” yang dianjurkan oleh Mahallah Talhah; contohnya kesedaran menggunakan bekas makanan sendiri berbanding polisterine. Cadangan lain diberikan oleh Saudara Lutfi Azmi, Presiden MRC Tabari untuk penambahbaikan “Green Mahallah Project” yang akan datang ialah membudayakan amalan berbasikal dalam kampus kerana mahallah yang akan diduduki nanti lebih dekat dengan kebanyakan kulliyyah, serta kesesuaian untuk melaksanakannya dengan membina suasana baru di mahallah yang baru.

Ketiga, Saudara Syafiq Ramli, Ketua Sahabat Massa menerangkan prinsip syarikat kapitalis untuk sentiasa menghasilkan permintaan yang diperkenalkan oleh Richard Nixon, ialah 1) menghasilkan barang yang cepat rosak atau sekejap fungsinya, 2) menaiktaraf secara sedikit ciri-ciri baru dalam barangan versi baru. Sebagai contohnya Iphone 6 dan Iphone 6S hanyalah sedikit naik tarafnya.

Keempat, Saudara Arif Alwan, pelajar tahun akhir Pergigian UIAM membuka diskusi dalam konteks negara dan isu semasa iaitu pembentangan Akta Nuklear di Dewan Rakyat dalam masa yang terdekat ini dan menekankan mahasiswa untuk mengikuti perkembangannya sama ada kerajaan Malaysia akan menolak akta ini dengan pegangan yang lebih kuat atau mula berlembut dan berkompromi untuk meluluskan akta ini.

Akhir sekali, perbincangan selama 2 jam ini ditutup dengan resolusi di peringkat individu dan umum. Di peringkat individu, penulis memberi 3 perkara ringkas yang boleh diamalkan oleh semua ahli Sahabat Massa iaitu

  1. Mempunyai botol sendiri yang tahan lama, bebas Bisphenol- A (BPA) untuk mengisi air berbanding menggunakan botol baru setiap kali membeli air minuman.
  2. Mempunyai 1 beg membeli-belah sendiri yang boleh dilipat, mudah dibawa kemana sahaja di dalam beg tangan atau poket masing-masing utk kegunaan semasa membeli belah untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di kedai atau pusat beli belah.
  3. Mempunyai bekas makanan sendri (bebas BPA) yang mudah dibawa dan digunakan untuk mengisi makanan ketika membeli lauk pauk untuk mengurangkan penggunaan polisterine dan beg plastik




Di peringkat umum, pentingnya pertemuan susulan dengan wakil organisasi pelajar UIAM Kuantan (PhytoTech IIUM Club, Mahallah Representative Council (MRC) Tabari dan Talhah, SahabatMassa) dan membuat jalinan kerjasama dengan badan-badan NGO luar antaranya Grup Alam Sekitar ABIM (GRASS), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Customer Association Penang (CAP).

Akhir kata, saya mengajak pembaca artikel bersama-sama mengamalkan tiga cara praktikal di peringkat individu di atas dan teruskan mendidik diri dengan kefahaman hubungan Alam dan manusia.

* Ditulis oleh Sahel Akmal bin Che Mohd Hazidi, pelajar tahun keempat Jurusan Perubatan (MBBS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, (UIAM) Kuantan.






No comments:

Post a Comment